Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, mendapat sambutan menggalakkan dengan peserta dari 52 negara mengesahkan kehadiran mereka sehingga kini.
Setiausaha Agung Bersama Sidang Kemuncak KL, Tan Sri Samsudin Osman, berkata persiapan untuk perhimpunan berkenaan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
“Alhamdulillah setakat ini kita ada lebih 400 peserta yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir termasuk lebih 250 dari luar negara.
“Peserta luar datangnya dari 52 negara (setakat ini), memang saya pun tak sangka begitu banyak (negara),” katanya ketika ditemu bual mengenai penganjuran sidang kemuncak itu dalam program ‘Assalamualaikum’ terbitan TV Alhijrah yang juga penyiar rasmi persidangan itu.
Sidang kemuncak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 18 hingga 21 Disember itu antara lain bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu serta yang boleh digunakan untuk masalah yang menimpa dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.
Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula tamadun Islam.
Samsudin berkata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Iran Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dijangka menyertai Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang kemuncak itu.
Dr Mahathir adalah Pengerusi Sidang Kemuncak KL.
“Jadi pada 19 Disember ini kita akan menyambut kehadiran empat pemimpin luar berkenaan selain ramai lagi kenamaan dari negara lain untuk sesi perasmian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan sidang kemuncak berkenaan.
Sementara itu, Samsudin berkata Dr Mahathir telah terbabit dengan intelektual, ulama dan pemikir Islam mengenai cara untuk mengatasi masalah yang mempengaruhi dunia Islam walaupun semasa beliau berada di luar kerajaan.
Daripada interaksi berkenaan, kata beliau, Dr Mahathir melihat perlu untuk diadakan pertemuan seperti Sidang Kemuncak KL.
Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018.
Beliau menjadi Perdana Menteri pada 1981 hingga 2003. – BERNAMA
