Lebih 100,000 Terbunuh Perang di Yaman Sejak 2015

Konflik peperangan yang dipimpin Arab Saudi di Yaman telah membunuh lebih daripada 100,000 orang sejak 2015, lapor Projek Lokasi Konflik Bersenjata (ACLED). 

Yaman, antara negara Arab paling miskin terbabit dalam perang antara pihak Houthi dengan tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi sejak 2014.

Tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara besar-besaran serta menyekat laluan perdagangan menyebabkan bekalan makanan serta perubatan terputus.

ACLED menerusi laporan yang disiarkan semalam, mendedahkan angka itu termasuk 12,000 kematian orang awam dalam serangan yang disasarkan secara terus mangsa. 

Laporan itu turut menyebut bahawa 20,000 orang terbunuh tahun ini, menjadikannya tahun yang paling dahsyat selepas tahun 2018.

Organisasi bukan kerajaan itu juga mengatakan bahawa April adalah bulan ‘maut’ setakat tahun ini, apabila lebih daripada 2,500 dilaporkan terbunuh, berbanding kira-kira 1,700 pada bulan September.

“Suku ketiga tahun 2019 mencatatkan jumlah kematian paling rendah sama seperti akhir tahun 2017, tetapi bilangan mangsa awam meningkat dari suku sebelumnya,” kata ACLED.

Wilayah paling teruk diserang ialah Ta’izz, Hudaydah dan Jawf, dengan lebih 10,000 orang dilaporkan terbunuh di setiap kawasan sejak 2015.

Selama hampir empat tahun, Yaman menyaksikan pergolakan sengit antara tentera Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi dan militan Houthi, yang menguasai beberapa wilayah termasuk ibu negara, Sanaa.

Pada 2015, gabungan yang dipimpin Arab Saudi, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut mendapat sokongan Amerika Syarikat melancarkan kempen menentang pihak Houthi, menerusi beberapa siri serangan udara yang dasyat.

Perang itu telah mengakibatkan banyak masalah infrastruktur negara, memusnahkan hospital, sekolah, dan kilang.  

PBB mengatakan lebih dari 24 juta rakyat Yaman sangat memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk 10 juta menderita akibat kelaparan yang melampau. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *