Rejim pengganas Israel berterusan bertindak biadab menyerang kawasan pertanian Palestin pada waktu subuh semalam.
Ketua Kampung Atouf Abdullah Bisharat mengesahkan perkara berkenaan di kawasan di Um Kbeish, yang terletak berhampiran dengan bandar Tammun, selatan Tubas di Tebing Barat Timur.
Menyifatkan tindakan rejim sebagai biadab, beliau kasihan melihat nasib penduduk Palestin yang kehilangan sumber mata pencarian.
Pihak berkuasa Israel juga memusnahkan 300 pokok zaitun dan tanah ladang Palestin.
Bisharat berkata, sebanyak empat perigi yang digunakan oleh petani untuk pengairan juga dimusnahkan dan seperti biasa, rakyat Palestin tidak diberi amaran terlebih dahulu mengenai serangan itu.
Terdahulu, kawasan berkenaan sering menjadi sasaran serangan rejim pengganas Zionis sejak Jun lalu apabila perigi dan pokok zaitun dimusnahkan.
Organisasi Hak Asasi Manusia Palestin Al Haq mencatatkan bahawa dokumen membuktikan pemilikan tanah Palestin telah membenarkan pemilik tanah untuk menanam pokok zaitun sejak 2012.
Para petani diharamkan daripada memelihara tanah milik mereka dengan alasan bahawa kawasan itu dikategorikan sebagai rizab alam semula jadi oleh pihak berkuasa Israel.
Bisharat berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah mula meneruskan rancangannya untuk meluaskan pendudukan haram Israel di Tebing Barat sekiranya dia dipilih semula pada pilihan raya minggu depan.
Menurut kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tsalem, kira-kira 65,000 orang Palestin dan 11,000 penduduk haram Israel tinggal di Lembah Jordan yang diduduki dan kawasan utara Laut Mati.
Rakyat Palestin di Lembah Jordan berkata, mereka telah mendiami tanah itu untuk beberapa generasi lamanya dan tidak akan pernah menyerahkannya kepada pihak lain. – Agensi
