Serangan udara Israel di bandar selatan Lubnan mencederakan sekurang-kurangnya 14 orang

 

Sekurang-kurangnya 14 orang awam mengalami kecederaan apabila pesawat pejuang Israel mengenai pelbagai sasaran di bandar selatan Lubnan Ghazieh dengan peluru berpandu udara-ke-permukaan, menurut sumber tentera Lubnan.

Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, jet pejuang Israel melancarkan empat serangan udara pada hari Isnin di bandar pantai itu, yang terletak kurang dari lima kilometer dari bandar Sidon.

Dua serbuan menyasarkan kawasan perindustrian di belakang hospital swasta al-Rai, manakala dua lagi melanda sekitar sebuah pasar raya.

Sumber itu menambah bahawa dua serangan yang menyasarkan kawasan perindustrian telah memusnahkan sebuah kilang yang mengeluarkan dan memasang penjana elektrik. Sebuah kilang tayar dan sepuluh kedai jiran turut rosak teruk.

Kedua-dua serbuan di sekitar sebuah pasar raya memusnahkan sebuah kilang pembuatan besi dan aluminium dan merosakkan enam kedai komersial, menurut sumber.

Serbuan itu turut merosakkan sebuah rumah yang didiami beberapa pekerja Syria, dan mencederakan 12 daripada mereka.

Sementara itu, dua anggota pasukan pertahanan awam cedera ketika memadamkan kebakaran akibat letupan itu.

Israel telah melancarkan serangan udara terhadap Lubnan sejak permulaan serangannya terhadap Semenanjung Gaza pada awal Oktober.

Serangan Israel memusnahkan sebahagian bangunan di bandar Nabatiyeh di selatan Lubnan pada 14 Februari, membunuh tujuh ahli keluarga yang sama, termasuk seorang kanak-kanak, kata Agensi Berita Nasional Lubnan. Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ditemui hidup di bawah runtuhan.

Dalam serangan Israel yang berasingan, seorang wanita dan dua anaknya terbunuh di kampung as-Sawana di selatan Lubnan.

Rejim Israel melancarkan serangan dahsyatnya di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober selepas kumpulan muqawamah wilayah Palestin yang dipimpin Hamas melakukan serangan balas mengejut, yang digelar Operasi Taufan Al-Aqsa, terhadap entiti penjajah.

Serbuan Israel telah mengakibatkan serangan balas daripada Hizbullah untuk menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Pergerakan itu berikrar untuk meneruskan operasi balas selagi rejim Tel Aviv meneruskan serangan ke atas Gaza.

Kempen Israel di Gaza telah membunuh lebih 29,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Hampir 70,000 individu yang lain mengalami kecederaan.

 

 

Sumber berita: Press TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *