‘Operasi al-Aqsa Storm’: Palestin menawan pangkalan Israel, membunuh tentera

Palestin melancarkan operasi terbesar mereka terhadap Israel selama bertahun-tahun dalam serangan mengejutkan yang menggabungkan pejuang yang merentasi sempadan ke kota-kota yang dijajah Israel dengan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.

Video pada hari Sabtu menunjukkan pejuang muqawamah yang seolah-olah telah berada di dalam pangkalan tentera Israel dengan mayat tentera bergelimpangan di tanah.

Sekurang-kurangnya 100 warga Israel terbunuh dan lebih dari 900 cedera, lapor N12 News Israel, memetik perkhidmatan ambulans Israel.

The Times of Israel mengatakan pejuang Palestin menyusup ke bandar Sderot dan penempatan lain.

Hamas mengeluarkan video yang menunjukkan pejuangnya telah menangkap tiga orang Israel.

“Adegan Briged Al-Qassam menangkap sejumlah tentera musuh dalam pertempuran Al-Aqsa Flood,” kata sebuah kalimat yang muncul dengan latar belakang hitam pada awal video.

Beberapa papan tanda dalam bahasa Ibrani di latar belakang menunjukkan rakaman itu dirakamkan di sisi Israel dari persimpangan Erez ke Semenanjung Gaza. Video lain yang beredar di media sosial menunjukkan sejumlah orang dalam seragam tentera.

Serangan yang belum pernah terjadi sebelumnya bermula beberapa minit sebelum jam 7 pagi ketika orang Israel merayakan hari terakhir festival Sukkot selama seminggu, dengan ratusan roket dibedil ke Israel.

Video menunjukkan orang muda Israel melarikan diri dalam keadaan panik ketika pejuang Palestin menyerbu festival muzik di padang pasir.

Siren amaran kod merah diaktifkan di Tel Aviv, Sde Boker, Arad, dan Dimona di Selatan ketika letupan didengar oleh penduduk pada hari Sabtu. Di Al-Quds, siren roket terdengar diikuti oleh bunyi letupan.

Beberapa buah kereta dilihat terbakar setelah roket mendarat di Ashkelon, Israel Selatan.

Sayap bersenjata Hamas mengatakan lebih dari 5000 roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke Israel pada hari Sabtu, menyatakan “Operasi Al-Aqsa Flood” telah dimulakan.

“Kami memutuskan untuk menghentikan semua kejahatan rejim penjajah, masa mereka untuk mengamuk tanpa dipertanggungjawabkan sudah berakhir,” kata Hamas, sambil menambah, “Kami mengumumkan Operasi Al-Aqsa Flood dan kami telah melepaskan tembakan lebih dari 5,000 roket dalam serangan pertama selama 20 minit.”

Dalam pada itu, kumpulan Jihad Islam Palestin yang berpengkalan di Gaza mengumumkan pejuangnya turut menyertai serangan Hamas ketika Hamas meminta seluruh rakyat Palestin di mana-mana untuk berperang dan kumpulan muqawamah di Lubnan juga untuk bergabung dalam pertempuran melawan Israel.

“Kami adalah sebahagian daripada pertempuran ini. Pejuang kami akan berada di sisi saudara mereka dalam Briged Qassam sehingga kemenangan tercapai,” kata jurucakap sayap tentera Jihad Islam, Abu Hamza, dalam hantaran melalui Telegram.

“Ribut ini yang bermula dari Gaza akan merebak ke Tebing Barat dan di luar negara dan semua tempat di mana rakyat dan negara kita hadir, “kata Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Haniyeh menyebut operasi itu bersejarah dan epik, sambil mengatakan alasan utama untuk permulaannya adalah “pencerobohan jenayah Zionis di Masjid Al-Aqsa, yang telah mencapai kemuncaknya dalam beberapa hari terakhir”.

Video menunjukkan bom yang dijatuhkan dari quadcopter ke atas kereta kebal Merkava dan kemudian rakyat Palestin mengeluarkan seorang askar dari kenderaan tersebut.

Warga Palestin di Gaza menyatakan tidak percaya pada penyusupan ke wilayah yang diduduki oleh Israel.

“Ia seperti mimpi. Saya masih tidak boleh mempercayainya, pejuang kita berada di dalam tanah yang dijajah? ” kata seorang pekedai Gaza yang dipetik oleh Reuters.

Komander tentera Hamas Mohammad Deif berkata, “Ini adalah hari pertempuran terbesar bagi mengakhiri penjajahan terakhir di bumi”.

Beliau berkata pejuang muqawamah Palestin menyerang banyak sasaran Israel, termasuk lapangan terbang dan kemudahan ketenteraan.

“Hari ini, murka bangsa kita dan pejuang yang soleh semakin meningkat. Ini adalah hari anda untuk membuat musuh memahami bahawa waktunya telah berakhir, ” kata komandan tertinggi itu.

Sumber Palestin, bagaimanapun, melaporkan kematian sejumlah tentera dan peneroka Israel. Satu video berhampiran tembok pemisah seolah-olah menunjukkan sebuah kereta kebal Merkava terbakar, dengan beberapa pemuda Palestin bertengger di atas.

Seorang saksi yang melaporkan dari tempat kejadian kedengaran mengatakan bahawa pengendali kereta kebal itu telah ditangkap dan dibawa ke Gaza. Satu video kononnya menunjukkan seorang askar Israel dibawa dengan menunggang motosikal dalam tahanan dua orang rakyat Palestin dan dibawa ke Gaza.

Video lain yang beredar di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam dan kebakaran besar dari lokasi yang disyaki terkena impak serangan di Ashkelon.

Di Gaza bunyi roket dapat didengar dan penduduk melaporkan pertempuran bersenjata di sepanjang pagar pemisah dengan Israel, berhampiran bandar Khan Younis di Selatan, dan mengatakan bahawa mereka telah melihat pergerakan pejuang bersenjata yang ketara.

Perkhidmatan ambulans Israel mengatakan pasukan telah dihantar ke kawasan di Israel Selatan dekat Gaza dan penduduk diberi amaran untuk tinggal di dalam kediaman.

Operasi itu dilakukan sehari selepas Israel menandakan ulang tahun ke-50 perang 1973 yang membawa entiti itu ke ambang kekalahan bencana berikutan serangan mengejut oleh Syria dan
Mesir.

“Serangan ini sangat mengejutkan Israel,” tulis Times of Israel.

Menteri hal ehwal ketenteraan Yoav Gallant bergegas ke Tel Aviv untuk berunding dengan ketua keselamatan. Perdana menteri ekstremis Benjamin Netanyahu juga akan mengambil bahagian. Tentera mengatakan ia bergerak kepada keadaan “kesediaan negara untuk berperang“ dan Gallant membenarkan kerahan pasukan simpanan

Gallant juga menyatakan keadaan darurat dalam jarak 80 kilometer dari Semenanjung Gaza. Kawasan ini merangkumi bandar-bandar utama Tel Aviv dan Beersheba.

Gallant menyifatkan tindakan Hamas itu sebagai ‘satu kesilapan besar’ dan telah menyetujui kerahan tentera simpanan disebabkan tentera mengatakan bahawa rejim zionis sedang berada di landasan perang.

Tentera rejim Zionis menyatakan pasukannya telah melakukan sekurang-kurangnya dua serangan udara di Semenanjung Gaza namun tidak memberikan butiran lanjut.

Jurucakap tentera Israel, Richard Hecht memberitahu pemberita, pasukan rejim Zionis sedang bertempur dengan pejuang dari Gaza yang memasuki Israel melalui darat, laut dan udara menggunakan ‘paraglider’, hari ini.

 

Wartawan Palestin, pekerja hospital terbunuh di Gaza

Di Gaza yang dikepung, seorang wartawan Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita rasmi WAFA.

Mohammad Salhi ditembak mati ketika membuat liputan peristiwa di sebelah timur kem pelarian Bureij di Semenanjung Gaza tengah, tambahnya.

Seorang pekerja hospital Palestin juga terbunuh dalam tembakan Israel di sebuah hospital di Beit Lahyia, utara Semenanjung Gaza.

Sumber yang dimaklumkan mengatakan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu Israel menyerang Hospital Indonesia di Beit Lahiya, membunuh seorang pekerja dan mencederakan yang lain sambil menyebabkan kerosakan pada peralatan penting hospital tersebut.

Pada hari Jumaat, pasukan tentera Israel menyerang ratusan rakyat Palestin yang menghadiri perarakan pengebumian seorang pemuda Palestin di Tebing Barat, mencederakan lebih dari 50 orang.

Menurut media Palestin, orang ramai berkabung atas kematian Labib Dumaidi yang berusia 19 tahun, yang menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Jumaat akibat kecederaan yang dialami dalam serbuan oleh peneroka Israel di bandar Huwara, Selatan Nablus.

Sumber tempatan berkata, pasukan tentera Israel menyerang rakyat Palestin dengan peluru hidup, peluru logam bersalut getah, bom tangan dan gas pemedih mata untuk mengelakkan mereka meneruskan perarakan.

Laporan itu menyatakan 51 warga cedera, termasuk 19 warga yang terkena peluru getah, dua di antaranya di kepala, dan tiga yang terkena peluru hidup di kaki.

Israel telah meningkatkan keganasannya terhadap rakyat Palestin baru-baru ini, terutama setelah kabinet ekstremis berhaluan kanan yang dipimpin oleh Netanyahu berkuasa.

Lebih daripada 200 orang rakyat Palestin terbunuh tahun ini di wilayah Palestin yang dijajah dan Gaza. Sebilangan besar kematian ini dicatatkan di Tebing Barat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa tahun 2023 adalah tahun paling mematikan bagi rakyat Palestin di Tebing Barat sejak ia mula mengesan kematian hampir dua dekad yang lalu.

Sebelumnya, tahun 2022 merupakan tahun paling mematikan dengan 150 orang Palestin terbunuh, di mana 33 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur, menurut PBB.

 

 

Sumber berita: Press TV dan BH Online
Foto: Fars News Agency

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *